Berita Terkini (22/3/2016)
Hariku dikejutkan dengan suara
sebatan yang dihayun oleh Ustaz Khair. Seperti biasa, Ustaz Khair akan
berhempas-pulas dengan mengetuk setiap pintu bilik pelajar muslim yang terdapat
di Blok C dan Blok D untuk bangkit dan menunaikan ibadah wajib iaitu Solat
Subuh. Begitulah rutin hariannya setiap pagi. Jarum jam telah menunjukkan
nombor enam dan jarum minit menunjukkan nombor lima menandakan iqamah akan dilaungkan oleh muazin sebentar
sahaja lagi selepas Ustaz Khair habis solat sunat rawatib. Selesai menunaikan
Solat Subuh, Al-Matsurat akan dibaca bersama-sama sebelum keluar dari surau.
Destinasi
pertamaku setelah selesai membaca Al-Matsurat adalah Dewan Makan, tempat
makanan dihidangkan untuk para pelajar. Menu sarapan pada pagi ini adalah nasi lemak dan air milo.
Barisan mengambil makanan yang agak panjang memaksa diriku untuk duduk dahulu
di meja dan menjamah bijirin bersama susu. Apabila melihat rakan-rakanku yang
baru sahaja tiba di meja makan, dengan haruman nasi lemak yang enak, dan
perutku yang berkeroncong kelaparan, aku memaksa diriku untuk berdiri di
bahagian belakang barisan untuk mengambil makanan. Selesai mengambil makanan,
aku ke meja makanku semula untuk menikmati sajian yang telahku ambil. Walaupun
sambal yang aku ambil hanya sedikit, namun bagiku ia sudah cukup untuk
membuatku kepedasan.
Comments
Post a Comment